GEORGE TOWN – Proses membaiki paip pembetungan pecah yang mengakibatkan kejadian lubang benam di Jalan Burma dijangka mengambil masa lima hari untuk disiapkan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran berkata, kerja-kerja pembaikan dilakukan secara berperingkat bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di lokasi berkenaan.
Menurutnya, Indah Water Konsortium (IWK) dengan kerjasama MBPP memutuskan supaya kerja-kerja itu dilakukan pada waktu malam bagi memberi laluan kepada pengguna jalan raya pada siang hari.
“Sekiranya dilakukan sepanjang hari, hanya satu lorong boleh dibuka dan ini akan menyebabkan kesesakan serius, terutama di Jalan Penang hingga ke Jalan Macalister.
“Dengan pelaksanaan kerja pada waktu malam, kita masih dapat mengekalkan dua lorong pada siang hari walaupun kesesakan tetap berlaku,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9 pagi semalam, paip pembetungan milik IWK pecah menyebabkan kerosakan serius pada permukaan jalan dan berlakunya lubang benam di Jalan Burma.
Paip bertekanan tinggi itu menyalurkan sistem pembetungan utama di kawasan tersebut dan kebocoran mendadak menjejaskan struktur jalan. – KOSMO! ONLINE