PONTIAN – UMNO yakin tidak menghadapi masalah bagi memilih calon yang sesuai untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang dijangka diadakan seawal November tahun ini.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu memiliki ramai tokoh berkelayakan dan diterima masyarakat setempat untuk diketengahkan kelak.
“UMNO mempunyai ramai pemimpin yang boleh ditampilkan, yang penting jentera parti hendaklah berpadu dan sedia menerima siapa sahaja yang akan dipilih sebagai calon pada PRN tersebut.
“Syarat penting bagi memastikan kemenangan, calon mestilah mempunyai ciri-ciri ‘WALI ’, anak tempatan dan diterima rakyat, saya yakin UMNO akan menjadi magnet dalam pilihan raya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program santai bersama anak-akan muda dan menyaksikan pertandingan bola sepak Liga Super antara JDT dan Sabah FC di Kampung Jawa Ulu, Ayer Baloi, di sini, malam tadi.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan sebelum ia terbubar secara automatik bagi memberi laluan kepada PRN ke-17 yang dijangka berlangsung pada tahun ini.
Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan berkata, keputusan itu mesti dilakukan kerana tempoh penggal DUN akan berakhir pada November ini. – KOSMO! ONLINE