PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi kemudahan penukaran cip MyKad rosak secara percuma mulai esok hingga 7 Oktober ini bagi memudahkan rakyat menikmati manfaat menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penukaran cip MyKad rosak secara percuma itu boleh dibuat di mana-mana kaunter dan pejabat JPN seluruh negara.
“Mengikut rekod JPN, bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, agensi itu menerima sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad di bawah kategori cip atau kad rosak.
“Trend permohonan menunjukkan peningkatan ketara sejak tiga bulan kebelakangan ini dengan 32,819 permohonan pada Jun, meningkat kepada 40,371 (Julai) dan 45,411 (Ogos).
“Bagi September, setakat semalam, JPN menerima sebanyak 22,858 permohonan,” katanya hari ini.
Berdasarkan purata penggantian dua bulan terkini, permohonan bagi cip rosak yang direkodkan adalah 43,000 sebulan.
Penukaran cip MyKad rosak secara percuma itu dijangka melibatkan perbelanjaan sebanyak RM714,660 termasuk kos berkaitan.
“Ingin saya tegaskan kerajaan prihatin untuk menanggung sepenuhnya kos tersebut bagi memastikan akses rakyat kepada subsidi ini tidak akan terjejas hanya kerana masalah teknikal MyKad.
“Jadi, saya menyeru rakyat Malaysia untuk sentiasa memastikan MyKad berada dalam keadaan baik. Ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi kunci kepada pelbagai kemudahan termasuk subsidi bersasar Budi95,” katanya. – KOSMO! ONLINE