SEBERANG PERAI – Seorang penganggur direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun warga emas berusia 88 tahun di Taman Kerapu di sini, minggu lalu.
Perintah reman sehingga Ahad itu dikeluarkan oleh Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal di Mahkamah Butterworth, di sini hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek berusia 42 tahun tiba di mahkamah pukul 12 tengah hari diiringi pihak polis.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang pada 13 September lalu, mangsa yang tinggal bersendirian didatangi seorang penunggang motosikal di hadapan rumahnya.
Suspek kemudian bertindak menolak mangsa hingga terjatuh sebelum melarikan dompet berisi wang tunai RM200, kad pengenalan dan lesen memandu.
Bertindak atas laporan, polis melaksanakan siasatan sebelum suspek berjaya ditahan di Taman Mewah, di sini pukul 8 malam semalam.
Semakan lanjut mendapati suspek juga disyaki terbabit dalam satu lagi kes samun melibatkan seorang warga emas berusia 82 tahun.
Pemeriksaan mendapati lelaki terbabit mempunyai 17 rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah. -KOSMO! ONLINE