fbpx
Johari ketika berucap merasmikan Persidangan Tanah Persekutuan Sempena Sambutan Hari Tanah Negara Ke-9 Tahun 2025 di Putrajaya, hari ini.

Pegawai, kakitangan urus tadbir tanah jadi lebih peka cabaran semasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam urusan pentadbiran tanah dinasihatkan agar lebih peka terhadap cabaran semasa dan tidak lagi memandang ringan isu-isu berkaitan pengambilan tanah.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, senario semasa jelas menunjukkan isu berkaitan tanah bukan sahaja membabitkan aspek teknikal dan undang-undang, malah turut menjadi medan pertikaian politik, sentimen masyarakat serta campur tangan pelbagai pihak berkepentingan.

“Apa yang saya nak tekankan, kita sebagai kakitangan yang terlibat soal-soal tanah, kalau dulu kita boleh mengambil mudah soal-soal ini, tetapi hari ini negara telah bergerak ke hadapan, kita kena lebih fokus.

“Saya bagi contoh macam tanah Kampung Baru, apabila ada pembangunan semula flat-flat PKNS, dahulu tidak ada orang ‘dispute’ pasal tanah (atau) status tanah.

“Tetapi (isu Kampung Sungai Baru) hari ini, ia menjadi satu ‘dispute’ yang sangat besar. Ada dua kumpulan masyarakat penduduk yang ada di Kampung Baru ini, apabila tanah mereka nak dibangunkan, maka ada kumpulan yang bersetuju dan yang tidak bersetuju,” katanya.

Johari berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Tanah Persekutuan Sempena Sambutan Hari Tanah Negara Ke-9 Tahun 2025 di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa naratif dan dasar berkaitan pentadbiran tanah harus ditentukan oleh kerajaan, bukannya pihak pemaju mahu pun ahli politik. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI