KOTA BHARU – Seorang orang kena tuduh (OKT) bertindak melarikan diri dari lokap Kompleks Mahkamah Kota Bharu selepas rayuannya ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi semasa lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an itu merupakan OKT yang masih berada di dalam jaminan mahkamah.
Menurutnya, Hakim Mahkamah Tinggi menolak rayuan OKT dan mengekalkan hukuman penjara 24 bulan dengan tiga sebatan.
“Semasa anggota bertugas mengiringi lelaki itu menuju ke sel lokap, OKT tiba-tiba bertindak melarikan diri sebelum berjaya ditangkap semula oleh pihak polis.
“Polis ingin menegaskan bahawa status OKT sebagai banduan seperti yang ditularkan adalah tidak benar. Justeru, polis ingin menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati semasa berkongsi atau memuat naik sebarang kandungan di media sosial yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan beberapa anggota polis sedang mencari dan memburu individu yang dipercayai lolos dari Kompleks Mahkamah Kota Bharu di kawasan semak berhampiran sebuah pusat beli-belah di Tunjong di sini semalam.
Video yang dirakam oleh orang awam itu mendakwa terdapat seorang banduan yang melarikan diri apabila terlepas kawalan dari mahkamah. – KOSMO! ONLINE