fbpx
Anggota bomba mengeluarkan pemandu kereta Perodua Bezza yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 26 Jalan Kulai-Kota Tinggi berhampiran persimpangan Loji Rawatan Air SAJ Semanggar, Kota Tinggi, pagi tadi.

Masuk laluan bertentangan dipercayai punca nahas ragut dua nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Kemalangan maut di Kilometer 26.0 Jalan Kulai – Kota Tinggi berhampiran persimpangan Loji Rawatan Air SAJ Semanggar di sini yang meragut dua nyawa pagi tadi dipercayai berlaku apabila salah sebuah kereta memasuki laluan bertentangan sebelum berlaku pertembungan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihak polis telah terima maklumat daripada orang awam berkenaan kemalangan itu kira-kira pukul 8 pagi.

Katanya, kemalangan maut itu melibatkan dua buah kenderaan iaitu Toyota Vios dipandu wanita tempatan berusia 47 tahun dan Perodua Bezza dipandu lelaki tempatan 37 tahun.

“Dalam kemalangan tersebut, kedua-dua pemandu telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta dalaman dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Vios dari arah Kluang ke Kota Tinggi telah masuk laluan bertentang lalu bertembung dengan Perodua Bezza.

“Kedua-dua mayat telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, kemalangan itu, meragut nyawa pengurus cawangan sebuah pasar raya, Mohd. Fakhrurazi Muda, 37, yang memandu Perodua Bezza.

Seorang lagi mangsa yang maut dikenali sebagai Intan Yuliana Sahir, 47, merupakan seorang guru Bahasa Melayu di sebuah madrasah di sini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI