STADIUM Negara Hassanal Bolkiah dijangka menjadi ‘hospital’ buat Kuala Lumpur City yang kini mencari penawar selepas tersingkir daripada saingan Piala FA.
Mereka akan buat perhitungan di venue itu malam ini menentang DPMM Brunei dan hanya kemenangan mampu mengembalikan motivasi pasukan untuk terus memburu keputusan lebih positif pada baki saingan musim ini.
Berdasarkan kedudukan semasa, The City Boys yang masih belum tewas sepanjang empat aksi awal Liga Super dilihat sebagai pasukan pilihan untuk meraih tiga mata dan kemenangan bakal melonjak ke tangga kedua, memintas Terengganu yang turut mengumpul 10 mata.
“Kami akan bekerja keras dan melakukan persiapan untuk perlawanan seterusnya. Sekarang kami perlu segera pulih dan lupakan apa yang sudah berlaku,” kata Vidakovic.
Sebelum ini, KL City menang 1-0 ke atas Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) pada perlawanan kedua pusingan 16 Piala FA, namun gagal ke suku akhir selepas tewas 2-3 secara agregat.
Sementara itu, DPMM pula dipalit kekecewaan besar apabila dibelasah 1-7 oleh Kuching City pada perlawanan kedua pusingan 16 Piala FA sekali gus tersingkir daripada saingan dengan keputusan 4-9 secara agregat.
“Anda sentiasa mempunyai peluang. Seperti yang saya katakan, kami perlu bangkit, belajar daripada kesilapan dan berjuang lebih kuat. Kami akan mengkaji setiap perlawanan untuk beraksi lebih baik bagi perlawanan seterusnya,” kata pengendali DPMM FC, Jamie McAllister.