MELAKA – Tindakan pemilik sebuah restoran mi segera di Kampung Jawa menggunakan haiwan eksotik alpaka sebagai tarikan pelanggan membawa padah apabila dia dikompaun RM10,250 Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Premis tersebut yang sebelum ini turut tular di media sosial selepas alpaka berkenaan didakwa kelihatan tertekan dan murung turut diarahkan ditutup selama tujuh hari.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, pemeriksaan mendapati restoran itu bukan sahaja menempatkan seekor alpaka, malah turut membawa masuk 22 haiwan lain termasuk kambing, seekor itik, angsa, dua arnab dan kucing sejak Jun lalu.
Katanya, pemilik premis dikenakan kompaun RM10,000 di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2001 serta RM250 kerana melanggar Undang-undang Kecil Petempatan Makanan (MBMB) 2020.
“Kita keluarkan notis penutupan selama tujuh hari untuk kerja pembersihan dan mengeluarkan semua haiwan yang ditempatkan dalam restoran ini.
“Dalam lesen MBMB jelas dinyatakan haiwan peliharaan tidak boleh diletakkan di dalam restoran. Walaupun alpaka dipamerkan secara berasingan, ia tetap dilarang,” katanya ketika mengetuai operasi pemeriksaan, hari ini.
Beliau berkata, restoran berkenaan memperoleh lesen perniagaan makanan pada April lalu, namun hanya dua bulan selepas itu mula beroperasi seolah-olah sebuah zoo mini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem yang turut hadir pada operasi berkenaan berkata, satu pertemuan akan dibuat bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE