BALIK PULAU – Bank Negara Malaysia (BNM) sedang meneliti secara terperinci pelaksanaan Peraturan 78 dalam pinjaman sewa beli bagi memastikan sebarang pindaan yang dibuat dapat memberikan manfaat kepada sistem kewangan negara serta melindungi kepentingan pengguna.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya yakin BNM akan mengambil kira segala implikasi sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Kalau kita lihat secara terperinci, proses ini masih dipertimbangkan oleh Bank Negara.
“Saya percaya Bank Negara akan memberikan penelitian terhadap sebarang implikasi kalau nak menukar apa-apa, ini untuk kebaikan sistem kewangan yang ada dalam negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau melawat beberapa lokasi di Pulau Betong yang menjadi Kampung Angkat Madani bagi Kementerian Kewangan.
Peraturan 78 merupakan kaedah pengiraan kadar faedah dalam pinjaman sewa beli, di mana bayaran faedah diagihkan lebih tinggi pada peringkat awal pinjaman.
Kaedah itu dilihat memberi kesan kepada peminjam sekiranya membuat penyelesaian awal kerana jumlah pokok pinjaman yang masih tinggi perlu dijelaskan. – KOSMO! ONLINE