KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima 21 aset keselamatan bernilai lebih RM12.6 juta daripada Jepun menerusi Program Peningkatan Kapasiti Keselamatan (OSA) hari ini.
Sumbangan itu melibatkan 14 pesawat udara tanpa pemandu (UAV) dan tujuh bot penyelamat yang diagihkan kepada Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beberapa unit UAV sudah diterima manakala selebihnya akan tiba tidak lama lagi.
Menurutnya, dua trak pengangkut turut berada dalam proses tender untuk melengkapkan pakej bantuan berkenaan.
“Apa yang kita lihat hari ini adalah bukti hubungan rapat Malaysia–Jepun, bukan sahaja dalam ekonomi tetapi juga pertahanan. Cabaran di rantau ini, termasuk di Laut China Selatan, menuntut kerjasama erat,” katanya ketika ditemui pada majlis penerimaan UAV di Kompleks Haigate ATM.
Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki.
Dalam pada itu menurut Shikata, Malaysia dipilih sebagai salah satu daripada empat negara penerima pertama aset di bawah OSA kerana kedudukannya yang strategik menghadap Selat Melaka dan Laut China Selatan.
“UAV ini akan bantu Malaysia memantau kawasan pesisir pantai, termasuk zon sensitif seperti Laut China Selatan.
“Ia memperkukuh risikan, pengawasan dan peninjauan ATM, sekali gus menguatkan keselamatan maritim,” katanya.
Beliau menambah, Jepun juga akan memberi sokongan penuh kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi menangani pelbagai cabaran serantau. – KOSMO! ONLINE