KUALA TERENGGANU – Perkhidmatan bas berhenti-henti, Bas.My menerusi program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) di Terengganu mendapat sambutan menggalakkan dengan 24,000 penumpang menggunakannya pada bulan lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia peningkatan lebih 71 peratus berbanding purata 14,000 penumpang sebulan sewaktu fasa pertama pelaksanaan SBST di negeri tersebut pada tahun 2018.
“Laluan bas juga telah dipertingkatkan kepada lapan meliputi Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Setiu dan Marang.
“Pengoperasian perkhidmatan Bas.My di Terengganu tersebut digerakkan oleh 27 bas,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Bas.My Kuala Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di sini hari ini.
Anthony berkata, perkhidmatan Bas.My membantu menghubungkan penduduk luar bandar seperti Kuala Berang, Hulu Terengganu untuk ke pusat bandar raya ini.
Beliau berkata, ia juga memudahkan golongan pelancong ke destinasi pelancongan terkenal Terengganu seperti Jeti Merang yang menjadi pintu masuk ke rangkaian pulau peranginan, Pulau Redang, Pulau Lang Tengah dan Pulau Bidong.
“Mereka diberi opsyen pembayaran tanpa tunai menggunakan kad bank yang memudahkan.
“Golongan warga emas, OKU (orang kurang upaya) serta murid dan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi dan kemahiran pula layak menaiki bas ini secara percuma menerusi penggunaan pas konsesi,” katanya. – KOSMO! ONLINE