PETALING JAYA – Pemenang cabutan bertuah acara permotoran 125ZR Members telah menerima hadiah seperti yang dijanjikan iaitu sebuah Yamaha 125ZR, hari ini.
Dalam satu klip video penerangan oleh penganjur program yang diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan itu menjelaskan, semua berita yang tular sebelum ini adalah salah faham sahaja.
Beliau yang hanya dikenali sebagai Rizal berkata, pihak penganjur telah berjumpa dengan pemenang cabutan bertuah 125ZR Members.
“Setelah berbincang mengenai isu yang berlaku, kami sebulat suara telah membuat keputusan untuk menyerahkan sebuah lagi motosikal 125ZR sebagai hadiah kepada pemenang tersebut.
“Kami berharap perkara ini tidak lagi menjadi isu dan memohon agar pihak yang tidak mengetahui cerita sebenar tidak membuat andaian atau menyebarkan maklumat yang tidak tepat,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial yang kononnya penganjur tidak menepati janji kerana hanya memberikan sebuah blok motosikal Yamaha 125 ZR bersaiz 0.
Tambah Rizal, pihak penganjur sentiasa telus dalam setiap proses cabutan bertuah yang dijalankan.
“Penganjuran event 2.0 kami akan buat lebih baik. Segala yang kurang atau tidak baik kami akan perbaiki.
“Yang baik datang dari Allah, yang kurang baik datang dari pihak kami sendiri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE