PETALING JAYA – Gara-gara mengalami mengalami kesukaran membuang air besar sejak empat hari lalu, penyanyi Arrora Salwa terpaksa ‘berkampung’ di sebuah pusat perubatan di Nilai, Negeri Sembilan.
Arrora atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd. Salwa, 39, mengakui detik itu benar-benar menguji dirinya kerana perut mula berasa tidak selesa sehingga menjejaskan aktiviti harian.
“Saya tak buang air besar selama empat hari, perut pula makin sakit. Syukur saya akan dibenarkan pulang secepat mungkin sebab keadaan semakin baik.
“Alhamdulillah hari ini saja saya sudah berjaya membuang tiga kali,” katanya ketika membuat siaran langsung dalam TikTok.
Tambah pelantun lagu Ahmad itu, keadaan akan bertambah buruk andai masalah tersebut dibiarkan berpanjangan kerana mampu mengganggu kesihatan tubuh.
“Saya cuma perlu buang air besar saja. Bila doktor beri ubat cair najis, barulah lega.
“Doktor juga ada sarankan supaya dimasukkan kamera melalui dubur untuk pemeriksaan lanjut, tetapi saya tak mahu. Mujur usus saya tiada masalah serius,” ujarnya.
Rata-rata netizen mendoakan yang terbaik buat peserta Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) itu selain menyarankan pelbagai petua tradisional bagi merawat masalah berkenaan.
“Minum air kelapa, insya-Allah lawas,” komen seorang netizen.
“Banyakkan makan buah betik, memang mujarab,” tulis pengguna lain.
“Jangan tahan lama-lama, bahaya. Jaga kesihatan ya Kak Arrora,” ujar seorang lagi peminatnya. – KOSMO! ONLINE