KOTA BHARU – Suami kepada pengasas produk kecantikan terkenal Dnars, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 48, mendakwa dia tidak mendapat perintah bertulis dari mahkamah supaya mendepositkan semula wang tunai sebanyak RM1.3 juta milik Allahyarham Faziani Rohban Ahmad.
Ahmad Shah Rizal berkata, dia hanya mengetahui perintah untuk mendepositkan wang sebanyak RM1.3 juta ke dalam akaun pentadbir bersama harta pusaka itu melalui media sosial.
Tegasnya, wang itu belum didepositkan semula kerana dia tidak menerima sebarang arahan bertulis dari Mahkamah Tinggi Syariah.
“Sedangkan arahan bertulis saya tidak terima. Akaun pentadbir bersama harta pusaka itu diurus olehnya dan anak tiri, Aqbar Hakim Jasman.
“Selain itu, wang sebanyak RM1.3 juta itu hanya enam peratus sahaja daripada harta sepencarian yang bernilai RM80 juta.
“Wang yang saya pegang hanya sebahagian kecil iaitu enam peratus sahaja, tetapi pihak defendan ada banyak hutang dengan duit faraid bernilai RM3.2 juta melebihi yang saya pegang,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Shah Rizal mengarahkan peguamnya, Khairunnasriah Abdul Salam memfailkan injuksi mandatori supaya pihak tersebut memulangkan wang tersebut kerana ia merupakan hutang faraid yang dipinjam semasa arwah masih ada.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Zaini Sulaiman mengarahkan pihak plaintif iaitu Ahmad Shah Rizal menfailkan afidivit secara bertulis bagi menjawab permohonan membatalkan tuntutan harta sepencarian.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Oktober depan untuk prosiding permohonan pembatalan saman harta sepencarian.- KOSMO! ONLINE