PADANG BESAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua treler dan merampas lebih 55 tan tepung disyaki tidak mematuhi peraturan pelabelan di sekatan jalan raya di Kilometer 24, Chuping dekat sini kelmarin.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dalam pemeriksaan kira-kira pukul 7 malam itu, polis menemukan 1,042 guni putih jumbo serta beg kertas berwarna coklat dan biru berisi tepung seberat 55.8 tan.
“Kesemua bungkusan itu disyaki tidak mematuhi Akta Makanan 1983 kerana tiada kenyataan ‘bukan untuk jualan’ serta pelabelan tidak lengkap tanpa alamat pengimport. Dua lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan bersama lori jenis Dongfeng tersebut,” katanya di sini hari ini.
Katanya, keseluruhan rampasan bernilai RM1.4 juta dan telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Padang Besar untuk siasatan lanjut.
“Kedua-dua pemandu terbabit dipercayai cuba menyeludup masuk barangan tersebut masuk ke Malaysia tanpa pemeriksaan KKM untuk dijual di Alor Setar, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE