LONDON – Newcastle United merekodkan keputusan seri buat kali ketiga musim ini selepas terikat tanpa jaringan dengan Bournemouth di Stadium Vitality, sebentar tadi.
Ini juga adalah keputusan 0-0 kali ketiga The Magpies sepanjang tiga aksi awal di gelanggang lawan musim ini sekali gus menafikan hasrat Newcastle United raih kemenangan sulung ke atas Bournemouth di Liga Perdana Inggeris sejak kali terakhir melakukannya pada Julai 2020.
Daripada segi peratusan penguasaan, tuan rumah nyata lebih baik, menyaksikan percubaan Jacob Murphy menjadi percubaan tepat tunggal yang mampu dihasilkan oleh Newcastle United sepanjang 90 minit permainan.
Terdahulu, pengurus Newcastle United, Eddie Howe melakukan tujuh perubahan berbanding skuadnya yang menentang Barcelona di Liga Juara-Juara termasuk memberikan debut kepada Malick Thiaw.
Minit ke-16, David Brooks berjaya merobek gawang pelawat namun tidak bernasib baik apabila jaringannya itu dibatalkan kerana kesalahan offsaid.
Babak pertama berakhir seimbang tanpa jaringan, menyaksikan pertahanan kedua-dua pasukan mampu melaksanakan tugasan dengan baik.
Di babak kedua, Newcastle United hampir mendapatkan sepakan penalti selepas Nick Woltemade seakan ditarik oleh pertahanan lawan, Bafode Diakite namun pengadil perlawanan, Rob Jones buat keputusan sebaliknya.
Walaupun kedua-dua pasukan terus berusaha untuk mendapatkan jaringan kemenangan, segala gerakan diatur masih tetap menemui jalan buntu. – KOSMO! ONLINE