PEKAN – Seorang murid lelaki tahun lima mengalami trauma selepas dikatakan dicabul seorang guru lelaki di sebuah asrama Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin, berkata, berdasarkan laporan polis dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa didatangi guru berusia 45 tahun berkenaan yang dikatakan memegang dan meramas kemaluan anak pengadu.
Katanya, guru berkenaan kemudian dikatakan mengajak anak pengadu untuk tidur dikatilnya dan bertindak membuka seluar anak pengadu, memegang dan menghisap kemaluan anak pengadu serta telah mencium anak pengadu.
Katanya, susulan itu pengadu datang ke Balai Polis Pekan untuk membuat laporan polis selepas anaknya menceritakan kejadian dalam keadaan menangis.
“Pada 13 September sepasukan anggota polis menahan seorang lelaki di hadapan perkarangan IPD Pekan dan turut merampas satu unit telefon bimbit bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan seksyen 377E Kanun Keseksaan.
“Suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 20 September lalu dan telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya siasatan masih giat dilakukan dan kertas siasatan akan dihantar ke bahagian pendakwaan untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE