PENDATANG baharu saingan Le Tour de Langkawi (LTdL), Chengdu DYC Cycling tidak mahu dianggap sekadar ‘penumpang’ pada edisi 2025 apabila dibarisi ramai pelumba import.
Menerusi senarai pelumba dipertaruhkan, jelas menunjukkan pasukan China itu sedia untuk memberikan cabaran kepada lawan-lawan lebih berpengalaman dalam aksi jelajah tersebut.
Berbekalkan seorang pelumba tempatan dan lima import dari Rusia, Belarus serta Venezuela, ia dianggap sebagai amaran daripada Chengdu DYC kepada pasukan-pasukan ‘senior’ supaya lebih berwaspada.
Ketua Pegawai Operasi LTdL 2025, Emir Abdul Jalal berkata, pendekatan baharu pasukan berstatus Benua itu bagi mencabar pasukan-pasukan elit, terutamanya dari Eropah.
“Ramai sedar pasukan Benua yang rata-rata bersandarkan pelumba-pelumba tempatan kurang menyengat setiap kali bersaing dengan WorldTeam ataupun ProTeam dalam LTdL sejak beberapa tahun lalu.
“Sebagai contoh, JCL Team UKYO dari Jepun mencatat keputuan yang baik tahun lalu selepas mendapatkan tiga pelumba Itali. Ia turut membantu pasukan itu bergelar Pasukan Asia Terbaik,” katanya.
Daripada senarai lima import itu, Petr Rikunov menjadi antara pelumba yang memiliki reputasi cukup besar memandangkan pakar pecut berkenaan memenangi peringkat ketujuh Tour of Qinghai tahun ini.
Turut mendapatkan khidmat pelumba import adalah pasukan dari Filipina, 7-Eleven Cliqq Roadbike apabila menyenaraikan tiga pelumba dari Australia dan Perancis bagi menggalas cabaran kali ini. – KOSMO! ONLINE