PEKAN – Kegembiraan lima sekeluarga mencari etak di Sungai Pahang dekat Kampung Bukit Kenau, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas, pagi ini.
Mangsa, Mohd Zainuren Abd Rashid, 45, dari Kampung Seri Menanti, Parit Jawa, Johor dilaporkan hilang pada petang Jumaat lalu selepas dihanyutkan arus sebelum mayatnya ditemui kira-kira pukul 7.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai buruh dilihat berada agak jauh daripada ahli keluarga lain sebelum tiba-tiba tenggelam dan tidak timbul semula.
“Susulan laporan polis yang dibuat ahli keluarga mangsa di Balai Polis Paloh Hinai, di sini, petang Jumaat, operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dilancarkan sejak semalam.
“Operasi SAR membabitkan seramai 74 anggota melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba sukarela serta penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM turut melakukan beberapa selaman di sekitar lokasi terakhir mangsa dilihat berhampiran pam penyedut pasir namun gagal menemui mangsa.
“Hanya pada pagi ini mayat mangsa ditemui penduduk kampung kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Mayat kemudian dibawa naik ke tebing oleh pasukan penyelamat sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pekan bagi proses bedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE