KEMAMAN – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu sedang melakukan siasatan berhubung insiden kebocoran paip gas butana di tapak pembinaan projek Seksyen 5, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kerteh, di sini.
Jurucakap JKKP berkata, sepasukan pegawai penyiasat telah ke lokasi kejadian bagi menyiasat insiden tersebut.
Beliau berkata, JKKP akan menjalankan siasatan lengkap dan mengambil tindakan perundangan sekiranya terdapat pelanggaran mana-mana peruntukan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Insiden disedari apabila asap putih dikesan di kawasan pembinaan semalam. Tindakan segera diambil dengan membunyikan siren kecemasan dan mengarahkan semua pekerja mengosongkan kawasan.
“Petronas Gas Berhad juga telah menutup dua injap utama bagi mengawal kebocoran dan sedang menjalankan kerja-kerja pengosongan gas dari paip berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jurucakap JKKP berkata, notis larangan kerja telah dikeluarkan terhadap semua aktiviti pembinaan di kawasan berkenaan sehingga keadaan disahkan selamat.
Beliau berkata, pihak syarikat kontrakor terlibat juga diarahkan untuk menyediakan laporan penuh siasatan insiden kepada pihak jabatan. – KOSMO! ONLINE