PETALING JAYA – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay memberi peringatan agar mereka yang mempunyai kedudukan atau pangkat supaya menjalankan amanah dengan sebaiknya.
Ayob Khan menegaskan, dalam zaman ini, pelbagai fitnah yang disebarkan sering menimbulkan ketegangan dan kesukaran di pihak polis dan masyarakat.
“Saya tak kata semua tak betul. Ada yang betul. Tapi kebanyakan benda tak betul itu yang menjadi pegangan. Bila kita terangkan balik dengan faktanya, mereka tak nak terima lagi. Ini akhir zaman.
“Mereka menggunakan pengaruh media sosial dan kuasa rasuah untuk menyebarkan fitnah dan orang jujur akan dikhianati. Dia tak kekal lama dalam jawatannya,” katanya dalam klip video di Facebook.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Masjid Al-Busyra di Merbok, Kedah pada 17 September lalu.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, tanggungjawab itu melibatkan individu berpangkat besar dalam polis termasuk imam masjid, wakil rakyat serta menteri dan Perdana Menteri.
Menurutnya, ia bukan sahaja sekadar memberikan kata-kata retorik, namun individu itu perlu melaksanakan amanah yang diberikan.
“Bila kita merayakan para maulid, sejauh mana kita menghayati empat sifat penting Rasulullah SAW. Dapat ikut satu atau dua pun alhamdulillah iaitu siddiq (jujur) dan amanah.
“Kita ini bukan lama, kita pun tak tahu bila kita nak jalan, jangan ingat kita muda. Bila kita pencen semua habis tinggal. Jadi jangan angkuh dengan kuasa dan mengkhianati amanah yang kita dapat,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE