SINGAPURA – Satu rakaman video tular di media sosial memaparkan bebola cahaya berkilau meluncur menghampiri tanah di sebuah kawasan di Singapura, lapor laman berita The New Paper hari ini.
Dalam rakaman itu, pancaran cahaya daripada bebola tersebut kelihatan menuju ke arah tanah sebelum ia meletup dan hilang dalam kepulan asap.
Sebuah video dirakam di Pasir Ris Park dan dimuat naik oleh pengguna TikTok, niniiixcx semalam, manakala satu lagi rakaman kamera papan pemuka kereta di Tampines turut dikongsikan pengguna TikTok, sundayannab1.
Sebilangan pengguna media sosial meninggalkan komen secara berseloroh dengan mengaitkannya dengan bulan hantu, manakala yang lain memberi penjelasan saintifik.
Menurut seorang pengguna media sosial, ia adalah fenomena meteorologi yang jarang berlaku dan kadang-kadang muncul ketika ribut petir.
Bola cahaya itu bertahan cuma beberapa saat walaupun beberapa saintis masih belum benar-benar memahami puncanya.
Bagaimanapun, tidak semua yang mempercayai perkara itu apabila ramai netizen mempersoalkan sama ada video itu dijana teknologi kecerdasan buatan (AI) atau hanya suntingan kreatif. – AGENSI