NEW DELHI – Seorang lelaki berusia 31 tahun di Kardhani, India, didakwa membunuh ibunya selepas wanita itu memutuskan sambungan internet di rumah mereka, lapor laman berita MSNews hari ini.
Suspek, Naveen Singh turut dikatakan bertindak demikian selepas dimarahi mangsa kerana gas memasak sudah habis di rumah mereka, lapor laman berita Times of India.
Menurut penyiasat, ketegangan tercetus apabila mangsa, Santosh, memutuskan sambungan internet di rumah dan memarahi lelaki itu kerana membiarkan tong gas di dapur menjadi kosong.
Berang dengan tindakan ibunya, suspek didakwa mencekik leher dan menumbuk mangsa berulang kali serta memukulnya menggunakan sebatang kayu.
Jiran yang mendengar kekecohan di rumah itu dengan segera menghubungi polis yang kemudian tiba dan menahan suspek.
Mangsa dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dia mengalami pendarahan dalam telinga sebelum meninggal dunia. – AGENSI