KOTA BHARU – Sebanyak 90 peratus kes rogol melibatkan remaja bawah umur di Kelantan berlaku atas dasar suka sama suka tanpa paksaan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, beliau melihat bahawa undang-undang sedia ada perlu diperhalusi semula supaya masyarakat lebih faham kesan kesalahan sekali gus dapat membendung peningkatan kes tersebut.
Menurutnya, meskipun kedua-dua pihak terbabit secara rela, hanya lelaki akan didakwa di mahkamah mengikut undang-undang semasa.
“Sebelum ini, kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak menunjukkan peningkatan ketara dengan lebih 90 peratus melibatkan hubungan suka sama suka.
“Perkara itu dilihat tidak adil dan peruntukan undang-undang berkenaan perlu diteliti semula agar tindakan itu turut diambil terhadap pihak perempuan yang terlibat dengan kes tersebut,”katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, beliau mencadangkan peruntukan undang-undang sedia ada berhubung kes rogol membabitkan hubungan suka sama suka melibatkan remaja bawah umur yang ketika ini hanya mengenakan pertuduhan terhadap lelaki diteliti semula.
“Selepas ini kita mahu pihak berwajib mengambil tindakan juga terhadap perempuan sekiranya terbukti berlaku suka sama suka. Kenapa hanya lelaki sahaja yang dihukum, sedangkan kedua-duanya terlibat.
“Isu tersebut perlu dibawa kepada pihak berkaitan termasuk pejabat agama bagi melihat bentuk tindakan susulan kerana kebanyakan kes mempunyai pengakuan serta bukti jelas,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE