fbpx
PENANAMAN teh panda dung sangat unik kerana menggunakan najis beruang panda sebagai baja.

5 teh termahal di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WALAUPUN teh terkenal dengan budaya masyarakat Cina dan mempunyai sejarah beribu-ribu tahun lamanya tetapi boleh dikatakan ia sudah menjadi minuman kegemaran ramai orang tidak kira latar belakang.

Teh sudah menjadi pelengkap hari terutama bagi pencinta teh ataupun alternatif kepada minuman yang kurang kafein berbanding kopi kerana ada sesetengah orang mempunyai tindak balas yang kurang menyenangkan apabila minum minuman tinggi kafein.

Di Malaysia juga sedang tular mengenai ‘teh kayangan’ TWG.

Sehubungan itu, CitaRasa kali ini kongsikan lima jenis teh termahal di dunia berserta keunikannya sehingga menjadi minuman mewah seperti dilapor travelandleisureasia.

1. Teh da-hong pao
DITANAM di pergunungan Wuyi di wilayah Fujian di China, teh da-hong pao diisytiharkan sebagai khazanah negara kerana jarang ditemui. Dengan nilai sekitar AS$1.2 juta (RM5 juta) sekilogram menjadikannya teh termahal di dunia. Nama Da-Hong Pao diterjemahkan kepada ‘Jubah Merah Besar’ dan mengikut lagenda, maharaja China Dinasti Ming mendermakan jubahnya untuk mendapatkan sebalang teh oolong ini untuk membantu ibunya yang sedang sakit. Teh da-hong pao yang terbaik berasal dari pokok induk, hanya enam pokok induk yang wujud di planet ini. Sekitar 20 gram (g) teh da-hong pao daripada pokok induk dijual pada harga kira-kira AS$30,000 (RM125,700) pada 2005, menjadikannya rekod lelongan tertinggi.

2. Teh panda dung
PENANAMAN teh panda dung sangat unik kerana menggunakan najis beruang panda sebagai baja. Ia pertama kali diusahakan An Yanshi, seorang usahawan di China yang mula menggunakan najis panda dari pusat pembiakan berhampiran sebagai baja organik. Kumpulan pertama teh unik ini dijual sekitar AS$3,500 (RM14,600) untuk 50g. Panda dung yang mempunyai kandungan antioksidan tinggi dipercayai mempunyai pelbagai manfaat kesihatan, sekali gus menjadikan antara teh termahal di dunia dan dijual sekitar AS$70,000 (RM293,000) sekilogram.

3. Pucuk teh emas kuning, Singapura
SETERUSNYA, pucuk teh emas kuning juga tidak kalah dengan keunikannya kerana sukar ditemui dan hanya dituai sekali setahun dengan menggunakan gunting emas dan kemudian dijemur. Daun teh kemudian disembur dengan kepingan emas 24 karat yang boleh dimakan.
Dikenali juga sebagai teh maharaja China, teh itu berharga sekitar AS$7,800 (RM32,600) untuk satu kilogram daun teh.
Sesuai dengan namanya, teh berkenaan mempunyai rasa logam dan bunga yang unik serta terkenal dengan faedah antipenuaan dan kesihatan yang lain. Teh ini yang dijual oleh syarikat TWG berasal dari Singapura sudah menembusi pasaran di 23 negara termasuk Asia, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Utara.
Menariknya, teh pucuk teh emas kuning ini juga kini terkenal di Malaysia meskipun harganya dikategorikan sebagai teh T20 tetapi perkongsian di laman sosial membuatkan namanya disebut-sebut dan ramai yang mahu merasai teh mewah itu.

4. Teh petua perak imperial Darjeeling
HANYA pakar yang dibenarkan memetik teh ini semasa malam bulan purnama. Teh petua perak Imperial (silver tips imperial tea) adalah sejenis teh oolong yang dituai di ladang Teh Makaibari di bukit landai Darjeeling, India.
Teh ini berasal daripada tunas istimewa yang kelihatan seperti jarum perak dan mempunyai aroma buah yang halus. Ia mempunyai rasa yang kompleks dengan rasa tajam mangga dan frangipani.
Dalam lelongan pada tahun 2014, teh itu dijual pada harga AS$1,850 (RM7,700) sekilogram menjadikan teh termahal di India.

5. Gyokuro Jepun
GYOKURO yang diterjemahkan daripada bahasa Jepun sebagai ‘embun mutiara’ atau ‘embun jed’ ditanam di daerah Uji dianggap sebagai salah satu teh hijau gred tertinggi di negara Matahari Terbit itu.
Untuk proses penuaian, teh ini perlu dilindungi di bawah tikar jerami selama empat minggu sebelum daun teh terbaik dipetik. Proses ini membantu tumbuhan mengekalkan asid amino L-theanine yang seterusnya meningkatkan rasa umami dalam teh.
Teh gyokuro pertama kali ditemui oleh Kahei Yamamoto VI pada tahun 1835. Satu kilogram teh gyokuro berharga sekitar AS$650 (RM2,700).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN