BEIJING – Seorang wanita berusia 48 tahun dari Fujian, China berdepan detik cemas selama 54 jam apabila terjatuh ke dalam sebuah perigi terbiar yang dalam, lapor portal berita MSNews semalam.
Dia yang dikenali sebagai Qin terpaksa bertahan dalam kesejukan melampau, digigit ular dan kelaparan sebelum akhirnya diselamatkan.
Pada Sabtu minggu lalu, wanita itu keluar bersiar-siar apabila dia tergelincir dan jatuh ke dalam perigi yang tersembunyi di sebalik rumput tinggi.
Beberapa tulang rusuknya patah dan dia terperangkap dalam air yang sangat sejuk.
Apabila mangsa gagal pulang ke rumah, keluarganya mula bimbang dan melancarkan pencarian pada 14 September lalu, namun tidak menemui sebarang petunjuk.
Keadaan bertambah genting sehingga akhirnya pada pagi 15 September lalu, keluarga meminta bantuan pusat penyelamat tempatan.
Pasukan mencari menyisir kawasan hutan tebal sambil memanggil namanya.
Pada pukul 1.45 petang (waktu tempatan), mereka akhirnya terdengar jeritan lemah meminta tolong.
Berpandukan arah suara itu, pasukan penyelamat menemui Qin yang di dalam perigi dan menyelamatkan mangsa.
Bercakap dari katil hospital Qin berkata: “Saya terus berpaut pada batu, tidak berani lepaskan. Bahagian paling sukar ialah apabila beberapa ekor ular merayap di atas tubuh saya.”
Dia bertahan dengan meminum air perigi dan menggunakan kemahiran berenang untuk memastikan kepalanya tidak tenggelam. – AGENSI