KEPUTUSAN positif dalam beberapa perlawanan terdahulu menyaksikan pasukan bola sepak kebangsaan terus mendaki kedudukan dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang terkini.
Berdasarkan kemas kini yang dibuat badan induk bola sepak dunia itu semalam, skuad Harimau Malaya naik dua anak tangga ke kedudukan 123 dunia selepas mengumpul 1,148.23 mata keseluruhan.
Pencapaian dilakar skuad kendalian Peter Cklamovski itu adalah disebabkan dua kemenangan dalam aksi persahabatan Tier 1 menentang Singapura pada 4 September lalu serta Palestin empat hari kemudian.
Kedudukan terkini pasukan negara sekali gus menyaksikan Malaysia semakin hampir untuk menembusi kelompok 120 pasukan terbaik dunia dan dijangka terus meningkat berdasarkan prestasi semasa.
Pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim menaruh sepenuh kepercayaan bahawa ranking pasukan negara akan terus meningkat, lebih-lebih lagi menerusi perancangan teliti daripada pihak pengurusan.
“Saya percaya dalam keadaan sekarang ini, ranking kita akan terus meningkat berbanding sebelum ini. Sekarang saya nampak perancangan daripada pihak pengurusan, termasuk jurulatih lebih teliti dan teratur.
“Bagi saya, keadaan itu meningkatkan lagi potensi untuk meningkatkan ranking dengan memilih siapa yang kita nak lawan serta bagaimana cara lawan,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia kini menghuni kedudukan keempat terbaik dalam kalangan pasukan-pasukan rantau Asia Tenggara di belakang Thailand (101), Vietnam (114) dan juga Indonesia (119).
Sementara itu, Zulakbal juga percaya pemilihan pasukan lawan untuk aksi persahabatan sangat penting kerana ia mampu menjadi salah satu faktor yang membantu peningkatan ranking Harimau Malaya.