KUALA TERENGGANU – Hajat seorang pesara untuk meraih keuntungan lumayan bukan sahaja lebur malah dia pula kerugian RM76,740 akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Lelaki berusia 62 tahun yang menyedari tertipu berkenaan telah membuat laporan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 2.47 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, lelaki warga emas tersebut bertarik dengan iklan skim pelaburan saham terbabit yang dilihatnya di laman Facebook pada pukul 10 pagi, 24 Ogos lalu.
“Mangsa kemudiannya menekan pautan tertera sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp.
“Dia diperkenalkan dengan seorang wanita yang mendakwa kononnya tenaga pengajar skim pelaburan terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, pesara sebuah syarikat minyak dan gas itu kemudiannya membuat pelaburan berjumlah keseluruhan RM76,740.
Beliau berkata, lelaki terbabit membuat pelaburan menggunakan wang simpanannya.
“Traksaksi pelaburan dimasukkan ke dalam beberapa akaun bank diarah suspek antara 24 Ogos hingga kelmarin tetapi mangsa tidak mendapat keuntungan berganda dijanjikan malah diminta pula menambah pelaburan baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE