fbpx
Mohd. Uzair (gambar kecil) mendedahkan aktiviti ‘penyu terbang’ sudah berlarutan di Pantai Chedor dan Pantai Cherating sejak tahun 2005.

Penagih dera penyu sejak 2005

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAMAN – Aktiviti segelin­tir individu yang mengangkat penyu bagi tujuan memaksa haiwan itu bertelur atau dikenali sebagai ‘penyu terbang’ dipercayai dilakukan oleh golongan penagih dadah.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu sudah berlarutan khususnya di Pantai Chendor dan Pantai Cherating, Kuantan, Pa­hang sejak kira-kira 20 tahun lalu.

Katanya, golongan penagih dipercayai melakukan perbuatan ‘penyu terbang’ untuk mencuri telur haiwan reptilia terancam itu bagi tujuan mendapatkan wang mudah untuk membeli dadah.

“Golongan tersebut agak berbahaya kerana bersikap agresif sekiranya ditegur orang awam.

“Perkara ini terbukti menerusi rakaman video yang viral sebelum ini,” katanya ketika dihubu­ngi Kosmo! baru-baru ini.

Sebelum ini, tular di laman sosial dua video yang dirakam pelancong di Pantai Cherating yang memaparkan tiga individu mengangkat seekor penyu untuk memaksa haiwan itu bertelur.

Salah seorang suspek kemudiannya berjaya ditahan polis.

Mohd. Uzair berkata, pemerhatian beliau dan pasukan penyelidiknya mengesan aktiviti ‘penyu terbang’ sudah berlarutan di Pantai Chedor dan Pantai Cherating sejak tahun 2005.

Beliau berkata, kebanyakan penyu yang menjadi mangsa adalah spesies agar yang mendarat untuk bertelur antara bulan Mac hingga September setiap tahun.

“Kita percaya setiap biji telur penyu yang dicuri dijual di pa­saran gelap pada harga RM3 hingga RM7 mengikut saiz.

“Seekor penyu betina boleh bertelur antara 80 hingga 100 biji setiap kali mendarat,” katanya.

Beliau berkata, telur penyu masih mempunyai peminat tersendiri yang percaya ia mempunyai khasiatnya tersendiri.

“Sebelum ini, aktiviti penyu terbang iaitu mengangkat penyu tanpa kerelaan sukar dibuktikan.

“Apa yang kita nampak di pantai-pantai ini adalah kesan lubang yang digali oleh pencuri telur sebagai persediaan untuk mengangkat penyu bagi mempercepatkan proses bertelur,” katanya.

Mohd. Uzair berkata, penyu yang diangkat memang akan bertelur kerana reptilia marin tersebut telah dihalang untuk kembali ke laut tetapi hakikatnya ia amat tertekan dan terseksa.

Beliau berkata, perbuatan itu boleh menyebabkan sistem fisiologi badan penyu terganggu atau lebih dikenali ‘Dystocia’.

“Telur penyu berkenaan tidak akan dapat keluar habis apabila dipaksa. Ia akan menyebabkan penyu berkenaan berisiko mengalami komplikasi dalaman badan. Ia seterusnya boleh menyebabkan kematian reptilia terbabit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN