KUALA LANGAT – Malang menimpa seorang pekerja lelaki apabila maut dilanggar rakannya yang memandu trak pengangkat atau ‘forklift’ dalam kejadian di sebuah kilang di Banting, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.14 petang, mangsa tempatan berusia 20-an yang cedera di bahagian dada disahkan maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, hasil siasatan mendapati semasa kejadian mangsa sedang membuat kerja-kerja pemeriksaan stok kontena dan bergerak ke tengah laluan gudang kilang itu.
Katanya, rakannya berusia 30-an yang memandu forklift kemudian telah melanggar mangsa sehingga tercampak dan jatuh di permukaan jalan.
“Pemandu forklift itu yang tidak mengalami kecederaan telah hadir memberikan keterangan bersama saksi bebas dan waris di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Langat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Baiti Mustafa di talian 014-5006072 atau 03-31872222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE