KUALA TERENGGANU – Petronas Gas Berhad memberi jaminan pembekalan gas kepada pelanggan tidak akan terjejas susulan kebocoran paip di tapak projek Seksyen 5, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berhampiran Kampung Chabang, Kerteh, Kemaman hari ini.
Jurucakap Petronas Gas berkata, penghantaran bekalan gas buat masa ini akan diteruskan melalui talian gelung dalam rangkaian.
“Pemantauan berterusan sedang dijalankan dengan saluran paip yang terjejas diasingkan. Kakitangan turut ditempatkan bagi memantau kawasan tersebut.
“Setakat ini, situasi masih terkawal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut jurucakap itu, kawasan paip bocor tersebut terletak kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan jauh daripada kawasan penempatan.
Begitupun, katanya, kawasan kebocoran tersebut ditutup buat masa ini bagi menjamin keselamatan awam dan pekerja terlibat.
“Keutamaan tertinggi kami pada masa ini adalah menjaga keselamatan dan kesejahteraan komuniti sekitar,” katanya.
Terdahulu, polis memaklumkan laluan dari Kerteh ke Kampung Ranggon, Kemaman terpaksa ditutup sementara kepada semua kenderaan susulan insiden kebocoran paip gas di Kampung Chabang, Kerteh pada pukul 9.53 pagi. – KOSMO! ONLINE