fbpx
KEADAAN kolam di Masjid Kristal, Kuala Terengganu yang telah diselenggarakan TTI.

Lepas tular, Masjid Kristal terus berkilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Imej serta infrastruktur Masjid Kristal, di sini kembali pulih selepas sehari tular keadaan kolam berlumut dan struktur kayu platform tidak diselenggara.

Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, kolam yang berlumut tersebut sudah dibersihkan, manakala penggantian baharu juga dilakukan terhadap beberapa struktur kayu yang reput sebelum ini.

Pengurus Besar Taman Ta­madun Islam (TTI), Mohd. ­Fadhil Wahab menafikan pihak­nya sengaja membiarkan Masjid Kristal yang merupakan antara monumen ikonik pelancongan Terengganu berada dalam keadaan uzur.

Sebaliknya, beliau menegaskan kerja-kerja penyelenggaraan TTI yang seluas 23 hektar sedang dilaksanakan secara berperingkat.

“Hujan lebat yang turun sejak beberapa hari sebelum ini menyebabkan air kolam tersebut menjadi kotor dan berlumut.

“Apapun kita sudah membersihkannya semalam (kelmarin). Gambar (kolam berlumut) yang tular itu berlaku sebelumnya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd. Fadhil berkata, kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan TTI termasuk di Masjid Kristal telah berlangsung sejak berakhirnya pandemik Co­vid-19 kira-kira tiga tahun lalu dan ia mengambil masa ekoran keluasan kawasan dan kosnya yang tinggi.

Beliau berkata, pengurusan TTI telah membelanjakan lebih RM2 juta bagi membaiki bumbung, kemudahan serta laluan pejalan kaki ke Masjid Kristal tersebut sejak 2022.

Mohd. Fadhil berkata, pe­ngurusan TTI komited memastikan destinasi pelancongan Islam terkenal negara itu berada dalam keadaan terbaik.

Terdahulu, segelintir pe­ngunjung Masjid Kristal pada musim cuti persekolahan ini meluahkan ketidakpuashatian mereka di media sosial berikutan beberapa fasiliti kawasan tersebut yang uzur dan tidak terjaga. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN