BANGKOK – Sebuah keluarga dari China terpaksa makan 5.5 kilogram durian di luar Lapangan Terbang Chiang Mai kerana tidak mahu membazir buah tropika mahal tersebut, lapor portal berita VnExpress semalam.
Mereka berbuat demikian selepas diberitahu tidak boleh membawa durian menaiki penerbangan pulang.
Kejadian berlaku 16 September lalu ketika seorang lelaki dikenali sebagai Li dan keluarganya bersiap untuk pulang ke China selepas bercuti di utara Thailand.
Pada hari sama, bapa Li membeli beberapa kotak durian segar, dikenali di seluruh Asia sebagai ‘raja buah’ kerana isinya yang berkrim tetapi berbau kuat.
Namun, syarikat penerbangan melarang durian dibawa masuk ke dalam pesawat kerana baunya terlalu menyengat.
Berdepan pilihan sama ada membuang atau memakannya sebelum berlepas, keluarga Li memilih untuk menghabiskan semua durian tersebut, lapor portal berita Mothership.
Rakaman video di platform Douyin memaparkan keluarga itu duduk di luar lapangan terbang dan memakan isi durian.
Li kelihatan hampir termuntah kerana banyak makan durian, manakala bapanya terus bersemangat menikmati buah tersebut.
“Bila ada bapa yang degil membeli 5.5 kilogram durian sebelum penerbangan, keluarga tiada pilihan selain menghabiskannya,” kata Li.
Dia kemudian mengaku tidak mahu lagi melihat durian selepas terpaksa menelan empat hingga lima ulas, sambil menambah, keluarga mereka masih berbau durian ketika menaiki pesawat, hingga terpaksa meminta maaf kepada penumpang lain. – AGENSI