KEKANGAN dana tidak menghalang atlet memanjat tembok (wall climbing) negara, Renee Tan Sui Lin melakukan persiapan terbaik menjelang temasya Sukan SEA Thailand 2025 bermula Disember nanti.
Atlet berusia 25 tahun itu berkata, dia kini giat menjalani latihan sejak pertengahan tahun ini, namun dia berdepan kesulitan apabila tidak mampu mendapatkan perkhidmatan jurulatih disebabkan faktor kewangan.
“Untuk persiapan kali ini, saya berlatih sendiri dengan melaksanakan struktur latihan yang ditetapkan dan akan meningkatkan intensiti latihan dari semasa ke semasa.
“Menjelang Sukan SEA nanti, kami akan melakukan lebih banyak simulasi dan saya masih mempunyai dua lagi pertandingan yang akan digunakan sebagai persiapan,” katanya ketika ditemui di Camp 5 KL East, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Terdahulu, seramai 15 pengamal media menyertai pertandingan ‘fun climb’ sempena Crank Lead Comp 2025 pada 4 dan 5 Oktober ini di Camp 5 KL East yang menyaksikan penyertaan seramai 330 peserta melibatkan 26 negara.
Mengulas lanjut, Renee berkata, dia optimis dengan prestasi skuad wall climbing tembok negara untuk mara ke separuh akhir dan final meskipun bakal berdepan saingan sengit daripada Thailand, Indonesia dan Singapura.
“Ada beberapa ahli pasukan sedang menjalani latihan di luar negara. Mereka semua memberikan komitmen yang tinggi untuk Sukan SEA.
“Tetapi bagi saya, dana adalah cabaran utama, namun saya ada beberapa kali ke Singapura dengan inisiatif sendiri untuk latihan.
“Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai peringkat final (Sukan SEA Thailand 2025). Bonus jika dapat menyumbang pingat untuk negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE