fbpx
HANNAH ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke-20 hari ini. - KBS

Hannah saran MPM tiru cara RTG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) serta badan sukan lain disarankan supaya mencontohi program Road to Gold (RTG) dalam menguruskan penajaan serta ganjaran kepada atlet bagi mengelakkan isu pembayaran.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, RTG yang diperkenalkan pada 2023 mewajibkan setiap penaja untuk menandatangani kontrak rasmi sebelum kejohanan atau temasya seperti Sukan Olimpik berlangsung.

Ujarnya, langkah tersebut bagi memastikan supaya penaja-penaja dapat menunaikan janji kepada atlet sekiranya menjanjikan sebarang ganjaran jika dapat mencatat keputusan ditetapkan.

“Apabila penaja menawarkan ganjaran sama ada kereta, wang tunai ataupun insentif lain, RTG akan memastikan mereka untuk menandatangani kontrak sebelum atlet menggalas cabaran dalam mana-mana kejohanan.

“Menerusi cara seperti itu, apabila pengumuman dibuat, niat baik mereka (penaja) sudah nampak jelas. Jika atlet catat kemenangan, penaja perlu menunaikan janji yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Justeru, beliau menggesa supaya MPM serta badan sukan lain menggunakan mekanisme sama seperti yang dipraktikkan RTG dalam usaha mengelakkan sebarang pertikaian pada masa hadapan.

“RTG sudah memiliki kerangka ini dan saya meminta MPM supaya mengikutinya agar kita tidak lagi berdebat sama ada atlet akan mendapat apa yang dijanjikan ataupun tidak selepas kejohanan utama berakhir,” ujarnya.

Terdahulu, Hannah menerusi hantaran di laman Facebook miliknya mengecam MPM kerana mahu menggantung jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou kerana menuntut bayaran RM60,000 yang dijanjikan atas kejayaan memenangi pingat emas pada Paralimpik Paris 2024.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan tidak akan menyokong sebarang usaha MPM untuk menggantung pemenang dua pingat emas Sukan Paralimpik tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN