LIVERPOOL – Hugo Ekitike sekali lagi berjaya memainkan peranan penting buat Liverpool musim ini apabila menyumbangkan satu gol untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas seteru setempat, Everton di Anfield, sebentar tadi.
Kejayaan itu menyaksikan The Reds masih mengekalkan kemenangan 100 peratus dan ini juga adalah kali ketiga Liverpool menang dalam lima perlawanan awal selepas melakukannya pada musim 2018/19 dan 2019/20.
Pada perlawanan ini, pengurus Liverpool, Arne Slot kembali meletakkan Ekitike dalam kesebelasan utama dan turut menyenaraikan Alexander Isak di bangku simpanan.
Terdahulu, Liverpool yang mendominasi permainan di babak pertama hanya memerlukan 11 minit untuk membuka jaringan menerusi penyudah sempurna Ryan Gravenberch selepas menyambut hantaran Mohamed Salah.
Satu bantuan gol yang dihasilkan Salah pada perlawanan ini membolehkannya berada dalam kelompok 10 terbaik pemain yang mencipta ‘assist’ terbanyak, kini menyamai bekas rakan sepasukan, James Milner dengan catatan 89 kali
Kira-kira 18 minit selepas itu, Gravenberch terus cemerlang dan kali ini mencipta hantaran berkualiti untuk disempurnakan oleh Ekitike sekali gus menoktahkan kedudukan 2-0 bagi aksi separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Everton memberikan reaksi balas positif apabila mula memberikan tekanan hingga memperoleh jaringan pertama menerusi Idrissa Gueye pada minit ke-58.
Jaringan itu berjaya menambah kualiti permainan Everton yang dilihat terus memberikan tekanan kepada benteng pertahanan Liverpool namun tiada tambahan jaringan mampu dihasilkan kedua-dua pasukan. – KOSMO! ONLINE