KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur gagal meneruskan kemaraan ke final pada Kejohanan Badminton China Masters.
Pada aksi separuh akhir di Shenzhen Arena sebentar tadi, bekas juara dunia itu tewas 17-21, 14-21 kepada jaguh India, Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy.
Turun sebagai pilihan kedua kejohanan, anak buah Herry Iman Pierngadi itu terpaksa menerima hakikat tewas dalam tempoh 41 minit.
Keputusan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal menebus kekalahan kepada beregu tersebut pada suku akhir Kejohanan Dunia di Paris, Perancis bulan lalu.
Walaupun cuba memberi tentangan dalam kedua-dua set permainan, namun ia masih belum cukup untuk menandingi kehebatan dua pemain tinggi lampai itu.
Sebagai rekod, ini merupakan kekalahan kelima Aaron-Wooi Yik kepada Shetty-Rankireddy dalam 16 pertemuan setakat ini.
Kekalahan Aaron-Wooi Yik menyaksikan cabaran Malaysia di pentas final esok digalas beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei. – KOSMO! ONLINE