PETALING JAYA – “Kasihan Danial tiba-tiba tular. Banyak maklumat salah yang ‘page’ tu tulis. Mak cik dan pak cik saya memang orang senang. Dia belikan ni pun sebab abah dia minta beli untuk hadiah ‘anniversary’.”
Itu luahan dan penjelasan oleh individu dipercayai ahli keluarga pelajar yang tular di media sosial apabila menjadi orang pertama berjaya mendapatkan gajet tersebut.
Katanya yang menggunakan profil @Rajasyafiqahhh di media sosial, Danial sanggup beratur seawal pagi semata-mata ingin menyampaikan hajat bapa yang mahu membuat kejutan kepada ibunya.
“Mula-mula abah dia nak ‘surprise’ kan (iPhone untuk ibu Danial), akhirnya tular satu Malaysia,” kongsinya.
Selain itu, wanita berkenaan menerusi ruangan komen turut mendedahkan bahawa Danial merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang kini sedang menyambung pengajian di Intec Education College (Intec).
“Ya budak baik. SPM (menjadi) pelajar (yang dapat) straight A dan (kini merupakan) pelajar Intec, kolej persediaan untuk menyambung pelajaran ke luar negara,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, orang ramai beratur panjang di sebuah pusat membeli-belah di ibu kota bagi mendapatkan iPhone 17 yang mula dijual di Malaysia, hari ini.
Menerusi beberapa video dimuat naik di TikTok, difahamkan seorang individu yang merupakan pelajar sanggup beratur seawal pukul 3 pagi bagi mendapatkan gadjet tersebut. – KOSMO! ONLINE