LIVERPOOL – Jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone mengakui hilang sabar dengan ejekan penyokong Liverpool selepas dilayangkan kad merah pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Anfield awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Simeone dilihat kecewa apabila misi pasukan untuk mencuri satu mata berharga tidak kesampaian selepas The Reds meraih gol pada minit-minit akhir hasil tandukan Virgil van Dijk.
Pengendali dari Argentina itu mengakui sedar dengan kesilapannya apabila ‘melayan’ cacian penyokong sebelum wisel penamat dan berharap situasi itu menjadi pengajaran pada masa depan.
“Saya telah dihina sepanjang perlawanan dan saya cuba untuk kekal tenang. Namun, saya hanyalah manusia biasa dan sukar untuk bersabar selepas diejek 90 minit tanpa henti.
“Saya tidak boleh katakan secara spesifik tetapi saya harap Liverpool dapat mencari kumpulan penyokong terbabit dan menghukum mereka sewajarnya,” katanya.
Sementara itu, Simeone memuji mentaliti pasukan yang hampir meraih keputusan seri selepas ketinggalan 0-2 dengan pemain tengah, Marcos Llorente meledak dua gol untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-81.
“Kami dibolosi dua gol terlalu awal tetapi ia tidak menjejaskan semangat pemain untuk berikan yang terbaik sehinggalah dibolosi gol minit akhir oleh Van Dijk,” katanya. – AGENSI