fbpx
Najib ketika hadir di Mahkamah Tinggi, hari ini. Foto oleh Syakir Radin/KOSMO!

Titah Adendum: Mahkamah tolak permohonan perintah gag order AGC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) mendapatkan perintah larangan (gag order) bagi menghalang mana-mana pihak daripada menerbitkan kenyataan berhubung Titah Adendum yang difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas mendapati bahawa perintah larangan itu jika dibenarkan mahkamah, akan menangani risiko yang nyata dan besar terhadap keadilan perbicaraan.

“Saya tidak fikir mengeluarkan perintah gag order (larangan) akan menangani risiko sebenar dan besar terhadap keadilan perbicaraan.

“Sudah ada undang-undang fitnah dan undang-undang penghinaan yang boleh diambil dan boleh diambil tindakan. Secara keseluruhannya, saya tidak mendapati perintah bersuara itu perlu. Permohonan itu dengan ini ditolak,” kata hakim itu.

Mahkamah turut menolak permohonan AGC untuk mendapatkan perintah perlindungan bagi memelihara dan melindungi kepentingan sahnya berhubung semua dokumen dan material yang dikemukakan sebagai eksibit dalam prosiding semakan kehakiman berkenaan.

Pada 20 Januari lalu, AGC telah memfailkan secara rasmi permohonan larangan bersuara (gag order) bagi menghalang mana-mana pihak termasuk media untuk memperkatakan mengenai Titah Adendum yang menyentuh mengenai penahanan Najib di rumahnya sehingga habis hukuman penjara.

Dalam prosiding sama, mahmamah turut menolak permohonan Najib untuk meminda pernyataan dengan memasukkan bukti tambahan dalam semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum.

Bukti tambahan tersebut ialah surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anak bekas Ahli Parlimen Pekan itu, Datuk Mohamad Nizar, bertarikh 4 Januari lalu yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum berkenaan.

Ia ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman dan dialamatkan kepada Mohamad Nizar yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang.

Semasa prosiding, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Nurhafizza Azizan mewakili kerajaaan.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara relif yang dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta-merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN