MELAKA – Dua pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun secara berkumpulan di sebuah rumah di Bukit Senggeh, Jasin, dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Hafiszudin Azaharudin dan Abdul Afif Azizi, kedua-duanya berusia 19 tahun, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Haderiah Siri dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Dalam prosiding berasingan, Muhammad Hafiszudin yang tidak bekerja didakwa merogol mangsa di rumah keluarganya, manakala Abdul Afif yang juga penghidap gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD) turut didakwa atas kesalahan sama.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.30 pagi, 5 September lalu di sebuah rumah di Solok Rejang, Bukit Senggeh.
Hakim Haderiah membenarkan Muhammad Hafiszudin diikat jamin sebanyak RM10,000, manakala Hakim Rohatul Akmar membenarkan Abdul Afif diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan dan melapor diri sekali sebulan.
Mahkamah turut menetapkan 23 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Jasin, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama di hadapan Majistret Mazana Sinin. Remaja itu dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 Oktober ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin dan Nor Asnini Kamarudin, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Ahmad Muzhaffar Abdul Razak. – KOSMO! ONLINE