BERLIN – Seorang lelaki berusia 43 tahun dan dua kanak-kanak meninggal dunia selepas terperangkap di dalam kereta elektrik (EV) Tesla yang terbakar akibat melanggar pokok, lapor portal berita MailOnline.
Kejadian berlaku di Villigst, bandar Schewerte dalam negeri Rhine-Westphalia Utara, Jerman baru-baru ini.
Jurucakap Jabatan Polis Daerah Unna, Bernd Pentrop berkata, Tesla tersebut melanggar pokok ketika cuba memotong kenderaan lain di jalan raya, menyebabkan ia terbakar.
“Tiga penumpang di dalam kenderaan itu rentung. Mangsa melibatkan seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak berumur sembilan tahun,” kata Pentrop.
Seorang penduduk cuba membuka pintu kereta dengan menarik pemegang secara berulang kali tetapi gagal dibuka, lapor media tempatan.
“Seorang kanak-kanak berjaya melepaskan diri dan dibawa ke hospital dengan menaiki helikopter untuk rawatan lanjut,” tambahnya.
Pasukan khas Jabatan Polis Rhine-Westphalia Utara akan menjalankan siasatan penuh untuk mengenal pasti punca kemalangan. – AGENSI