fbpx
Saifuddin (dua dari kanan) merasmikan Majlis Peluncuran Program Komuniti Korektif Kampung Angkat Madani Jabatan Penjara Malaysia di PRP Kuala Muda, hari ini.

Subsidi RON95: Hanya 30 minit ganti MyKad rosak, elak kaunter sesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya memudahkan proses penggantian MyKad rosak bagi mengelakkan kesesakan di kaunter susulan pelaksanaan subsidi minyak RON95 secara bersasar tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu penting kerana MyKad akan menjadi dokumen utama pengesahan rakyat Malaysia sebelum melakukan sebarang pembelian bahan api tersebut di stesen minyak.

“Saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias supaya pihaknya dapat memastikan proses penggantian MyKad rosak dipermudahkan bagi mengelakkan kesesakan di pejabat pendaftaran.

“JPN sedang usahakan proses penggantian MyKad siap dalam masa 30 minit sahaja. Itu perlu dihebahkan supaya orang ramai tidak bimbang,” katanya selepas merasmikan Komuniti Korektif Kampung Angkat Madani Jabatan Penjara di Pusat Reintegrasi Penghuni Kuala Muda, di sini hari ini.

Saifuddin berkata, keperluan MyKad amat kritikal kerana terdapat lebih dua juta transaksi minyak berlaku setiap hari di lebih 4,000 buah stesen di seluruh negara.

Katanya, rakyat diminta supaya segera menyemak cip MyKad masing-masing sama ada berfungsi dengan baik atau tidak sebelum subsidi bersasar dilaksanakan.

“Bayangkan sebelum ini, kita beli minyak tidak perlu MyKad. Sekarang wajib sebab itu saya ingatkan semua rakyat semak cip MyKad lebih awal, jangan tunggu sehingga hari pelaksanaan baru tahu kad rosak.

“Kalau 30,000 orang tidak dapat beli minyak pada hari pertama subsidi dilaksanakan, mereka akan marah,” katanya.

Beliau mendedahkan, JPN merekodkan kira-kira 1,000 kes penggantian MyKad rosak setiap hari, bersamaan 30,000 sebulan atau 360,000 setahun. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI