fbpx
Gambar hiasan

Sin Chew, Sinar Harian dikompaun RM100,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan kompaun masing-masing RM100,000 terhadap Sin Chew Media Corporation Berhad (Sin Chew) dan Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. (Sinar Harian) selepas mendapat izin daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

MCMC dalam satu kenyataan berkata, tindakan ke atas Sin Chew diambil selepas siasatan mendapati organisasi itu memuat naik ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di akhbar digital miliknya.

Katanya, Sinar Harian pula dikompaun berikutan siaran di akaun Instagram rasmi organisasi itu yang memuat naik profil mengandungi maklumat tidak benar mengenai Ketua Polis Negara.

“Dakwaan yang dibuat melibatkan jawatan kepimpinan tertinggi sebuah parti politik tempatan.

“Kedua-dua siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan hukuman seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 233(2).

“Tindakan kompaun pula dibuat mengikut Seksyen 243 akta sama,” katanya hari ini.

MCMC berkata, Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan maruah negara yang wajib dipaparkan dengan tepat dan penuh hemah pada setiap masa.

“Pada masa sama, penyebaran kandungan palsu yang melibatkan institusi keselamatan negara boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keyakinan masyarakat terhadap pihak berkuasa.

“Sehubungan itu, semua organisasi media dan pengguna media sosial diingatkan agar sentiasa memastikan ketepatan dan kesahihan kandungan diterbitkan.

“Ia khususnya apabila membabitkan lambang dan simbol rasmi dan MCMC akan terus memperkukuh penguatkuasaan dan melaksanakan pelbagai inisiatif literasi digital bagi memastikan keharmonian serta kestabilan negara terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI