PETALING JAYA – Acara larian perpaduan tahunan, Setia4Malaysia Unity Run 2025 anjuran S P Setia Berhad (Setia) berjaya menghimpunkan hampir 1,000 pelari di Setia Fontaines, Pulau Pinang pada 7 September lalu.
Buat julung kalinya, acara itu diperluaskan melalui Setia4Malaysia Unity Fest 2025 yang berlangsung pada 6 dan 7 September di beberapa lokasi utama seluruh negara dengan jumlah keseluruhan seramai 2,500 peserta.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Komersial Setia, Christinne Lim berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan sambutan luar biasa daripada masyarakat dalam dua acara tersebut.
“Kami amat berbangga dengan kejayaan Unity Run di Setia Fontaines, Pulau Pinang dan Unity Fest yang pertama kali dianjurkan di pelbagai perbandaran utama.
“Lokasi tersebut adalah di Setia Bayuemas, Setia Alamsari, KL Eco City, Setia Alam Impian, Setia Eco Glades dan Setia Warisan Tropika selain penyertaan antarabangsa dari Australia dan Vietnam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christinne berkata, pengalaman budaya unik sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia selain juadah istimewa menjadi antara tarikan utama acara tersebut.
“Kami berbesar hati dalam menjalankan acara yang penuh bertenaga dan semangat perpaduan. Kami berharap inisiatif ini akan terus dilaksanakan untuk jangka panjang,” katanya.
Acara larian itu menampilkan tiga kategori iaitu larian keluarga 3 kilometer (km) cabaran 10km dan separuh maraton 21km yang bermula seawal pukul 5 pagi.
Pemenang kategori 10km dan 21km menerima wang tunai, manakala semua penamat 21km diberikan pingat dan jersi eksklusif.
Di luar trek larian, pengunjung menikmati suasana bazar yang berlangsung hingga pukul 1 tengah hari dengan pelbagai sajian tempatan, aktiviti kebudayaan, persembahan seni dan permainan tradisional.
Sementara itu, Unity Fest pula menarik lebih 1,600 peserta dan antara aktiviti unik yang dianjurkan termasuk berkelah di taman dengan hidangan sate dan cendol di Setia Eco Gardens, persembahan ‘Roti Terbang’, canting batik dan permainan klasik di Setia Bayuemas.
Sambutan turut menyeberangi sempadan apabila komuniti di Setia Vietnam dan Setia Australia turut serta dalam acara tersebut.
Memasuki tahun kelima penganjurannya, Setia4Malaysia Unity Run dan Unity Fest disifatkan sebagai simbol dedikasi Kumpulan bukan sahaja membina perbandaran moden, tetapi mewujudkan komuniti yang cergas, inklusif dan bersatu padu. – KOSMO! ONLINE