MADRID – Kerajaan Sepanyol bercadang untuk membatalkan penyertaan pasukan kebangsaan mereka daripada Piala Dunia 2026 tahun depan sekiranya Israel beraksi di pentas berprestij dunia itu.
Juara Eropah itu antara pilihan awal untuk menjuarai kejohanan yang kali pertama dianjurkan di tiga negara, Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026.
Skuad La Roja itu juga ketika ini berada di landasan tepat untuk mengesahkan tiket ke pentas tertinggi berkenaan apabila mendahului saingan kelayakan Kumpulan E.
Bagaimanapun, skuad bimbingan Luis de la Fuente itu berkemungkinan untuk menarik diri sebagai tanda protes jika Israel juga beraksi di Piala Dunia 2026 biarpun ketika ini negara haram itu masih belum melayakkan diri.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menggesa agar Israel diharamkan daripada bertanding dalam pertandingan sukan antarabangsa terhadap keganasan mereka di Gaza.
Sanchez turut menempelak Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) kerana memberikan ‘layanan emas’ kepada Israel berbanding Rusia yang masih digantung selepas pencerobohan ke atas Ukraine pada 2022.
“Israel tidak boleh menggunakan mana-mana platform antarabangsa untuk memulihkan imejnya,” kata Sanchez.
Jurucakap kepada Kongres Sepanyol, Patxi Lopez turut mencadangkan agar kerajaan negara itu mengundi untuk memboikot Piala Dunia tahun depan jika Israel layak dan dibenarkan bertanding. – AGENSI