PETALING JAYA – Sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berada di Sicily, Itali tetap meneruskan pelayaran fasa kedua ke Gaza, hari ini walaupun diramal berdepan ribut kuat dengan kelajuan angin mencecah 40 knot dan ombak setinggi empat meter.
Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia (YAM), Norazman Ishak berkata, pasukan GSF Itali sepakat memulakan pelayaran itu bagi bergabung dengan konvoi dari Sepanyol, Tunisia dan Greece.
“Jumaat penghulu segala hari, moga Allah SWT mempermudahkan pelayaran fasa kedua. Alhamdulillah, pasukan GSF Itali bersatu hati untuk meneruskan perjalanan demi misi kemanusiaan ini,” katanya menerusi hantaran video di Instagram YAM, hari ini.
Menurutnya, walaupun ramalan cuaca memberi amaran mengenai ribut lebih dahsyat berbanding kejadian di Barcelona sebelum ini, semangat sukarelawan tidak tergugat.
Beliau turut mengajak masyarakat menyokong misi berkenaan di media sosial sebagai usaha memberi tekanan kepada rejim Zionis dan menghentikan genosid yang berlarutan hampir dua tahun terhadap penduduk Gaza.
“Flotila ini pelayaran kita bersama. Bangkit bersama,” tegasnya.
Sementara itu, Perunding Media Al-Khair Malaysia, Razali Awang, memaklumkan armada konvoi kini hampir lengkap berkumpul di perairan Sicily.
“Pada masa sama, peserta diminta sentiasa berjaga-jaga kerana ramalan cuaca memberi amaran ribut mencecah 40 knot dengan ombak setinggi empat meter, lebih dahsyat daripada keadaan di Barcelona,” katanya menerusi hantaran di Facebook. – KOSMO! ONLINE