PARIT BUNTAR – Sebanyak 104 tong gas petroleum cecair (LPG) dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi satu serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Pantai Kuala Kurau di sini semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan Ops Gasak yang dilakukan pada pukul 9.34 pagi itu adalah hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu oleh penguat kuasa KPDN Perak ke atas aktiviti penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi di lokasi terbabit.
“Hasil serbuan telah berjaya menjumpai 102 tong LPG bersubsidi 12 kilogram (kg) dan 14kg yang disimpan tanpa kebenaran.
“Sehubungan itu, pasukan pegawai penguat kuasa KPDN telah mengambil tindakan menyita sejumlah 102 tong LPG bersubsidi, sebuah lori dan beberapa dokumen berkaitan dengan nilai sitaan dianggarkan RM31,690.80,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pemilik premis disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit.
Kamalludin berkata, seseorang, selain dari badan korporat tetapi tidak termasuk pengarah atau pegawai sesuatu badan korporat yang melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duanya.
“Bagi mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua, denda tidak melebihi RM5 juta. – KOSMO! ONLINE