PADA zahirnya, pemuda itu bekerja di sebuah syarikat yang menghasilkan dan menjual barangan khat, tetapi di dalam media sosial dia dengan bangga berkongsi video porno sendiri.
Itu adalah antara realiti yang berlaku dalam dunia hari ini apabila nilai maruah bagai tiada harga dalam diri manusia.
Mungkin pada landskap besar, isu ini hanya sebesar zarah, namun jika dibiarkan ia mampu menjadi barah dalam sosial masyarakat.
Adakah masa depan kita bakal dibanjiri generasi muda yang sejarah hidupnya pernah berkongsi video porno di media sosial.
Menurut peguam Syazlin Mansor, berkongsi pornografi di media sosial boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, khususnya Seksyen 211, serta di bawah Seksyen 292 hingga 294 Kanun Keseksaan.
Jika melibatkan kanak-kanak, maka Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 juga terpakai.
“Setiap individu mempunyai hak kebebasan diri, namun hak tersebut mestilah dilaksanakan dalam lingkungan undang-undang menetapkan apa yang dibenarkan dan apa dilarang.
“Bagi akaun-akaun pornografi yang diwujudkan di media sosial, khususnya di platform X, sekiranya individu membuka akaun dengan niat untuk menyebarkan bahan pornografi, maka mereka telah melakukan suatu kesalahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Meskipun ada yang pernah berdepan tindakan undang-undang, mereka kini masih aktif berkongsi dan bangga dengan apa yang mereka lakukan.
Tidak ada sekelumit rasa penyesalan, malah jijik dengan tindakan itu seolah undang-undang gagal memberi pengajaran kepada mereka.
Adakah penguatkuasaan kita semakin pincang dan hanya menutup mata atas aktiviti tidak bermoral ini. Saat semua pihak mengecam isu dadah dan jenayah, isu sosial seumpama ini tidak ada yang peduli.
Jangan hanya bercakap tentang anak Melayu, Islam membuat video porno di media sosial, malah mereka yang terang-terangan ke kelab dan mabuk tidak ada tindakan penguatkuasaan.
Adakah kerana itu hak individu, tetapi sebagai negara Islam adakah ini mencerminkan identiti itu.
Kerajaan atau pihak berkuasa seperti tidak endah akan hal seumpama ini, adakah mahu menunggu sehingga moral majoriti anak bangsa punah baru beraksi?
Kongsi Syazlin, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu menguatkuasakan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 terhadap penyedia perkhidmatan aplikasi, bagi memastikan mereka mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi pengguna daripada kandungan yang menyalahi undang-undang.
“Masyarakat umum turut ada tanggungjawab sivik untuk melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan MCMC.
“Pada masa sama, MCMC memainkan peranan penting untuk memantau, menyekat, serta mengambil tindakan terhadap akaun-akaun yang menyebarkan kandungan pornografi,” ujarnya.
Bukan seorang dua, tetapi sekarang mungkin ratusan atau ribuan pemilik akaun media sosial yang tanpa malu memuat naik video porno mereka. Jadi apa tindakan untuk mengekang aktiviti ini yang semakin berkembang tanpa sedar?















